Wednesday, December 14, 2011

Air Mata Insan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Sekian lama rasanya tidak menitipkan tinta di blog ini... kesibukan yang tidak terduga apabila melangkah ke alam baru setelah selesai tugasku sebagai seorang yang bergelar pelajar sebelum ini... Alhamdulillah.. syukur yang tidak terhingga pada-Mu Ya Allah...

Kembali dengan topik baru, Air Mata Insan... mengapa kita menangis? pentingkah tangisan itu..? Cuba kita renungkan firman Allah s.w.t di bawah (53:43) :




"Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."


Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa Allah s.w.t yang menciptakan ketawa dan menangis untuk setiap insan. Banyak air mata yang telah mengalir di dunia ini sejak berkurun lamanya. Linangan itu mengalir dari sepasang mata kemudian turun ke pipi dan akhirnya gugur ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering dan tidak pernah putus setiap hari. Sepertimana sungai yang mengalir dan akhirnya ke laut tanpa henti. Jika air mata yang mengalir itu ditakung, pasti banjirlah bumi ini dengan air mata itu.

Namun, hati-hatilah dengan air mata yang mengalir dari redup matamu itu.. mungkin sahaja ia mengalir secara tercela dan mungkin sahaja ia mengalir dengan sangat terpuji.. yang mengalir secara tercela itu adalah seperti menangis kerana meratap pemergian insan sehingga merobek-robek dada dan menepuk-nepuk tanah perkuburan si mati. Hindarilah air matamu dari mengalir secara tercela... Manakala, yang mengalirkan air mata dengan cara yang terpuji adalah tangisan kerana keinsafan atas dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hayat yang ada... Subhanallah..

Nabi Adam a.s. menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah dilakukan. Nabi Adam a.s. bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di Jurang Serandip. Daripada air mata yang mengalir itu, Allah s.w.t telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata Nabi Adam a.s. lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam a.s. terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu diperhebatkannya tangisan itu kerana takut kepada azab Allah.. Lalu Allah s.w.t mendengar dan menerima taubat Nabi Adam a.s. dan mewahyukan, " Hai Adam, sesungguhnya Aku belum pernah menciptakan air yang lebih lazat daripada air mata taubatmu."

Antara air mata yang tidak dituntut ialah :
  1. Janganlah menangis jika cita-citamu tidak tercapai. Bukankah Allah telah menentukan di mana rezekimu?
  2. Janganlah menangis ketika menonton filem Hindustan. Bukankah itu cuma satu lakonan yang hanya khayalan semata?
  3. Janganlah menangis kerana cintamu tidak berbalas. Mungkin dia bukan jodohmu yang telah Allah tentukan?
  4. Janganlah menangis jika dirimu gagal dalam peperiksaan. Mungkin kamu kurang membuat persediaan.
  5. Janganlah menangis kalau wang kamu hilang ketika dalam perjalanan. Mungkin kamu kurang bersedekah.
  6. Janganlah menangis kalau kamu tidak dinaikkan pangkat. Yakinlah..... rezeki adalah pemberian dari Allah untukmu.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Ada dua biji mata yang tidak disentuh api neraka iaitu mata yang menangis pada waktu malam kerana takut kepada Allah s.w.t dan mata yang menjaga pasukan fi sabilillah pada waktu malam."

"Antara tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak, salah satu darinya ialah seseorang yang berzikir sendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah, maka bercucuranlah air matanya."

"Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka berguguranlah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohon yang kering."

Akhirul kalam;

Sucikanlah empat perkara dengan empat perkara:

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Allah,

dan dosa-dosa silam yang disulami dengan taubat kepada Zat yang memilikimu."






{Perkongsian ilmu dari Buku Terapi Patah Hati)

No comments: